|
Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh para jamaah surau al-Syumul dan ahli qaryah Bandar Rinching dan kawasan sekitarnya
Alhamdulillah, puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. dan salawat serta salam dipanjangkan kepada semulia-mulia makhluk Nabi Muhammad s.a.w. ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin dan seterusnya mereka yang berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Masa berlalu begitu pantas, usia bertambah dengan cepat, sedar tidak sedar kita sudah berada di pintu Ramadhan al-Mubarak sekali lagi untuk tahun Hijrah 1432 ini. Namun apa-apa pun saya dan para jamaah semua, muslimin dan muslimat sepatutnya semua mengucapkan sebanyak-banyak syukur kerana kita diberikan ruang dan kesempatan oleh Allah s.w.t. untuk berada di bulan Ramadhan al-Mubarak yang maha mulia ini. Tahun ini usia kita telah bertambah lagi dan serentak dengan itu juga makin hampirlah kita kepada kematian. Kita sering kali mendengar orang berkata “rumah berkata pergi dan kubur berkata mari untuk kita”, soalnya apakah kita bersedia untuk semua itu?, atau kita masih pada tahap lama tidak berubah, dengan andaian aku lambat lagi untuk mati?. Sedarlah semua kematian dan ajal tidak pernah lalai dan lupa untuk menjemput kita apabila saatnya tiba. Allah s.w.t. dengan jelas berfirman yang maksudnya “Dan apabila telah tiba masa ajalnya, tidak akan dipercepatkan dan tidak juga dilewatkan walaupun sesaat”. Tentu kita masih ingat pada tahun lepas terdapat sahabat-sahabat dan kawan-kawan kita yang sempat bersama di bulan Ramadhan al-Mubarak ini dan tentu ingat senda gurau mereka tetapi tahun ini apabila kita berpaling sahabat itu sudah tidak ada, dijemput Allah Rabbul Jalil. Nanti, pastinya akan tiba saat kita pula.
Sebelum berceloteh lebih lanjut saya yang juga mewakili para ajk Surau al-Syumul ingin mengucapkan dan mengalu-alukan kedatangan Ramadhan al-Mubarak kepada semua jamaah dan penduduk Bandar Rinching yang akan menjelma tidak lama lagi dan sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran dengan kemunculan bulan ini, sama-samalah kita apabila bertemu nanti melafazkan Ramadhan Karim, Ramadhan al-Mubarak, Ahlan wa sahlan biqudum Ramadhan dan sumpamanya dan yang menjawabnya bolehlah mengucapkan Wa Allahu Akram.
Bagi mereka yang menanti-nati dan menunggu-nunggu ketibaan bulan ini rasanya mereka sudah faham dan arif apa yang perlu dilakukan. Mereka ini biasanya bersedia sama ada dari sudut fizikal contohnya dengan berpuasa bulan Rejab dan Syaaban mahupun mental dengan melatih diri untuk menyambut secara rohaniah. Tetapi bagi mereka ynag kurang bersedia atau berat hati menanti ketibaan, atau tidak ambil hirau atau kisah, sebenarnya kalangan ini hendaklah memperbetulkan semula iktikad dan matlamat hidup mereka. Ingatlah dan cubalah hayati bagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda mahu salafus soleh yang lalu, di mana mereka ini “tertunggu-tunggu dengan penuh harapan dan kegembiraan serta memohon doa kepada Allah s.w.t. agar dipanjangkan umur mereka untuk berada pada bulan Ramadhan sewaktu hamper tibanya Ramadhan dan sebaliknya apabila hamper berakhirnya Ramadhan meraka akan merasa sedih, takut-takut tidak sempat untuk berada pada Ramadhan yang akan datang”.
Saya kira saya dan Muslimin serta muslimat semua perlulah bermuhasabah diri bagi menyediakan diri kita untuk menyambut ketibaan Ramadhan nanti. Paling utamanya mestilah mempuntyai keazaman dan tekad utuh untuk tidak membiarkan bulan yang cukup berkat dan mulia berlalu begitu sahaja tanpa memberi kesan yang maksima kepada diri kita. Ambil kesempatan yang ada ini dengan perkiraaan mungkin ini Ramadhan terakhir kita, maka lakukanlah puasa kita sebaik mungkin untuk mencapai puasa khawas atau khawasul khawas, menghidupkan malamnya dengan tarawih dan witir serta qiyam al-lail, bersedekah sebanyak-banyaknya kerana dengan sedekah Insyaalah dapat mengubati penyakit kita, Hadis nabi ada menyebutkan bahawa “Ubatilah penyakit kamu dengan bersedekah”. Pihak surau memang memerlukan sedekah muslimin dan muslimat bagi mengimarahkan lagi aktiviti surau. Perbanyakkanlah juga bertadarus dan membaca al-quran lebih-lebih lagi dengan menghayati
ayat-ayat al-Quran, tidak lupa solat jamaah kita lima waktu dan diikuti dengan solat-solat sunat lain. Moga-moga kita dapat beristiqamah untuknya.
Saya kira inilah peringat dan nasihat ringkas saya, untuik diri saya dan muslimin serta muslimat semua. Sekian saghaja dari saya
Wassalam
P.M. Dr. Haji Kamarudin Salleh |